MAKLUMAN TERKINI

SELAMAT MAJU JAYA UNTUK PEPERIKSAAN SPE (BAHASA MELAYU KERTAS I & II ESOK). ULANGKAJI PELAJARAN DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH.
Dikemas kini: 20-5-2015, Rabu
<<Dikemas kini: 28-5-2015, Khamis>>

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera kepada semua pelajar. Sila ambil perhatian.
Bermula 19/5/2015 hingga 1/6/2015 kita akan mula mengulangkaji topik-topik yang akan dikeluarkan untuk Peperiksaan Pertengahan Tahun*.

Pelajar hanya perlu membawa Buku Kerja Bahasa Melayu Tahun 8 di sepanjang tempoh berkenaan, kecuali jika ada arahan lain diberikan. Pelajar juga diminta untuk mengambil perhatian sewaktu sesi ulangkaji dan bertanya mana-mana soalan yang tidak difahami. Elakkan daripada bercerita kosong sewaktu sesi penerangan serta jangan berbuat bising.
--------------------------------------------
Tarikh Peperiksaan Pertengahan Tahun : Kertas I (2-6-2015) & Kertas II (4-6-2015)
Markah Keseluruhan: 100 %.

KERTAS 1 (1 jam dan 30 minit)

Bahagian A - Karangan (40 Markah)
❤️ Ada 5 soalan - Pilih satu.

Tips:
- Baca arahan dengan teliti.
- Pilih karangan yang dirasakan dapat dibuat (pelajar boleh memberikan contoh dan huraian isi karangan dengan baik).
-Tulis rangka karangan secara ringkas sebagai panduan. Tujuannya agar mudah untuk mencari isi yang sesuai mengikut susunannya (huraikan isi yang penting dulu). Satu isi dalam satu perenggan = Isi + Contoh + Huraian.
- Gunakan perkataan yang sesuai.
- Elakkan dari mengulang ayat/ isi yang sama.
- Periksa tatabahasa yang digunakan. Pastikan tidak ada kesalahan ejaan.
- Panjang karangan sekurang-kurangnya 180 patah perkataan ke atas. Jika kurang, markah akan dipotong.
* Pastikan tulisan kamu kemas dan boleh dibaca.

Bahagian B (30 Markah)
❤️ Ada 3 soalan - Pilih satu.
- Soalan jenis surat kiriman rasmi (nama pengirim dan alamat penerima telah disediakan).
- Soalan jenis surat kiriman tidak rasmi (Tulis surat tersebut berpandukan arahan).
- Soalan jenis karangan pendek.

Tips:
- Baca arahan dan fahami.
- Kenal pasti format karangan yang hendak kamu tulis & tulis surat berkenaan dengan berpandukan arahan yang diberikan.
- Gunakan kata ganti nama yang sesuai (Aku, Saya, Cucunda, Puan Pengetua dan sebagainya).
- Periksa tatabahasa dalam ayat. Pastikan juga tidak ada kesalahan ejaan.
- Panjang karangan dalam bahagian ini ialah tidak kurang 100 patah perkataan.
* Pastikan tulisan kamu kemas dan boleh dibaca.


Bahagian C - Rumusan (30 Markah)
❤️ Carta Aliran (jenis karangan pendek - tidak ada peratus %) 

Tips:
- Baca arahan dengan teliti.
**Dalam rumusan ada pendahuluan, huraian isi tersurat (isi yang ada dalam carta) dan huraian isi tersirat/tersembunyi (isi yang diperolehi dengan menggunakan pendapat pelajar sendiri), serta kesimpulan (penutup rumusan) --> Kesemuanya ditulis dalam satu perenggan sahaja**

- Huraikan setiap item mengikut urutan (mengikut tanda anak panah/arrows)
- Setelah menulis kesemua isi, kira jumlah patah perkataan. 
- Gunakan pendapat kamu sendiri untuk menulis huraian isi selain apa yang tertulis dalam carta. Berikan pendapat/fakta yang berkaitan dengan keadaan realiti/ pendapat yang boleh diterima].
- Periksa ejaan dan ayat yang ditulis. Pastikan tidak ada kesalahan. Jangan lupa untuk menulis jumlah patah perkataan rumusan yang dibuat.
- Tulis rumusan sekurang-kurangnya 80 ke 85 patah perkataan sahaja. Jika terlebih, markah akan dipotong.
--------------------------------------------

KERTAS 2 (1 jam dan 30 minit)

Bahagian A - Kefahaman (15 Markah)
❤️ 5 soalan kefahaman - 10m
❤️ 5 soalan memberikan maksud perkataan - 5m


Bahagian B - 25 Markah
❤️ Ringkasan (70 patah perkataan) - 20m
Tips:
- Baca secara teliti.
- Fahami jalan cerita dalam petikan teks.
- Cari isi-isi penting (1 isi dalam 1 perenggan).
- Kemudian gunakan penanda wacana untuk menyambung ayat isi yang diperolehi.
- Jangan masukkan contoh dalam ringkasan kamu,
- Tulis sekurang-kurangnya 70 - 75 patah perkataan sahaja dalam satu perenggan.

Cara-cara menjawab soalan ringkasan, klik link di bawah ini:
Latihan Ringkasan & Cara menjawab

❤️ Menukarkan petikan teks Jawi kepada Rumi - 5m

Bahagian C - Tatabahasa (50 Markah)
❤️ Soalan Objektif/MCQ - sebanyak 20 soalan - 20m
Meliputi topik: Ayat tanya, Imbuhan, Kata Adjektif, Kata Ganti Nama, Kata Bilangan, Kata Penguat, Kata Arah (Rujuk buku teks, atau layari internet).

❤️ Imbuhan - sebanyak 10 soalan - 10m

❤️ Menukarkan ayat kepada Ayat Aktif atau Ayat Pasif - sebanyak 7 soalan - 14m

Tips:
- Ayat Aktif dikenali dengan imbuhan 'meN-, mem- dan lain-lain' dalam kata kerjanya
contoh: 'Ali membuang sampah itu'.

- Ayat pasif dikenali dengan penggunaan 'di-' + 'oleh' dalam ayat.
contoh: "Sampah itu dibuang oleh Ali"

❤️ Jenis-Jenis ayat - sebanyak 6 soalan (membina ayat) - 6m

Bahagian D - Peribahasa (10 Markah)
❤️ 6 soalan objektif/MCQ - 6m
contohnya: Diam-diam ubi berisi, membabi buta, bagai lebah menghimpun madu
[Baca simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah dan bidalan] Tidak ada Perambahan Brunei/Bahasa Melayu Brunei.
❤️ 2 soalan simpulan bahasa - 4m
--------------------------------------------  

Sekian untuk makluman.
P/s: Sila rujuk Buku Teks/layari internet bagi topik-topik ulangkaji yang dinyatakan.
[Cg.Linn]
[STATUS : DITUTUP]

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera kepada semua pelajar.
Seperti yang tertera pada tajuk di atas, cikgu ingin memaklumkan tentang peraduan menulis rencana sempena Hari Air Sedunia 2015 (yang disambut pada 22 Mac setiap tahun).

Tujuan peraduan adalah untuk menyemai dan mencungkil bakat-bakat penulisan dalam kalangan penuntut, serta memberikan kesedaran kepada mereka tentang kepentingan untuk berjimat dalam penggunaan air. Sehubungan dengan itu, pihak penganjur (Jabatan Kerja Raya, melalui Jabatan Perkhidmatan Air) menjemput pelajar sekolah menengah di seluruh negara untuk menyertainya mengikut kategori masing-masing:

KATEGORI A (Penuntut Tahun 7 - 8)
- Pemenang Pertama : Wang Tunai BND 250
- Pemenang Kedua   : Wang Tunai BND150
- Pemenang Ketiga   : Wang Tunai BND 100

Panjang Karangan 
300 - 400 patah perkataan

Syarat dan Peraturan
  • Terbuka kepada penuntut yang terdiri daripada Rakyat KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
  • Penuntut Tahun 7 hingga Tahun 11 bagi Sekolah Menengah seluruh Negara.
  • Peraduan ini dibukakan mengikut katergori seperti di bawah:
         KATEGORI A (Penuntut Tahun 7 - 8)           : 300 - 400 patah perkataan
         KATEGORI B (Penuntut Tahun 9 - 11)         : 400 - 500 patah perkataan
  • Setiap peserta hanya dibenarkan untuk mengemukakan SATU (1) BUAH RENCANA sahaja, dan belum pernah tersiar dalam media masa atau media elektronik baik di dalam atau di luar negara (Rencana penuntut hendaklah hasil karya sendiri, bukan hasil tulisan orang lain).
  •  Pilihan tajuk adalah seperti berikut:
  1. "Air dan Pembangunan Mapan"
  2. "Jimat Air Amalan Mulia"
  •  Isi rencana hendalah bersifat umum, dan tidak bertentangan dengan dasar Kerajaan KDYMM dan tidak bertentangan dengan falsafah Melayu Islam Beraja.
  • Cara Penulisan:
  1.  Ditulis dalam Bahasa Melayu sahaja (dengan ejaan yang betul dan terkini).
  2. Ditaip menggunakan komputer, dengan jarak langkau (line and paragraph spacing) 1.5 - tidak termasuk petikan dan nota kaki / footer, berserta font size 11 (Arial), dan menggunakan kertas A4.
  3. Jika penuntut memasukkan ayat/sedikit petikan dari tulisan orang lain, hendaklah dinyatakan nama penulis tersebut.
  4. Rencana hendaklah dihantar dalam TIGA (3) salinan sahaja termasuk salinan asal.
  •  Rencana yang dihantar untuk peraduan adalah tidak dibenarkan untuk diterbitkan kepada mana-mana organisasi atau agensi lain sebelum atau selepas keputusan peraduan diumumkan (hasil tulisan penuntut adalah menjadi hak milik pihak penganjur).
  • Jawatankuasa Peraduan tidak bertanggungjawab atas kehilangan atau kerosakan semasa rencana penuntut dalam pengiriman.
  • Panel hakim yang berkelayakan akan dilantik, dan keputusan adalah muktamad.
  • Pihak penganjur berhak menarik balik hadiah yang telah dimenangi jika didapati pemenang melanggar syarat dan peraturan.
  • Keputusan peraduan dan sesi penyampaian hadiah akan dimaklumkan kemudian pada Majlis Air Sedunia 2015 dalam bulan Mei 2015.

Tarikh akhir menghantar rencana kamu kepada cikgu adalah pada 16 April 2015 (Khamis).
* Sila pastikan kamu menulis nama, tahun dan nama sekolah dalam kertas rencana yang dihantar. Pastikan juga ejaan adalah betul :)

Sekian untuk makluman semua.
Cg.Linn (Publish 14/4/2015)


Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera kepada semua pelajar. Keputusan markah akhir bagi Ujian SASCAT 1 (Bahasa Melayu) Tahun 8 akan cikgu beritahu minggu hadapan. Pengiraan markah akhir tersebut adalah seperti berikut:

Markah Ujian yang pelajar perolehi 
[Kertas ujian mengandungi sebanyak 60 markah] 
Markah yang diambil dari Latihan/Coursework 
[Sebanyak 40 markah]
 = 
MARKAH AKHIR (per 100%)
[Jumlah ini akan dimasukkan ke dalam rekod pelajar]. 

----------------------------------
Keputusan/Result bagi kesemua subjek akan diberikan kepada pelajar pada 21/3/2015 (Sabtu) *Jika tiada sebarang perubahan.

Dikemas kini 13/3/2015, Jumaat
[Cg.Linn]
 Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera pelajar sekalian.

Bagaimana dengan kertas ujian Bahasa Melayu hari ini?
Adakah senang?
Jika susah, adakah masih boleh dibuat?


[Cg.Linn]
~Dikemas kini: 10.00 pagi~
~(5-3-2015, Khamis)~















Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah membaca, dengan sekurang-kurangnya 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan.

Membaca adalah satu amalan yang terpuji dan patut dijadikan amalan setiap orang. Banyak faedah yang akan diperolehi jika seseorang itu mengisi masa lapangnya dengan membaca. Bahan-bahan bacaan banyak terdapat di negara kita seperti akhbar, majalah, buku dan lain-lain lagi. Di dalamnya termuat pelbagai maklumat mengenai hal-hal yang wujud dan yang berlaku di seluruh dunia. Jadi dengan membacanya pengetahuan kita akan bertambah. Kita dapat mengetahui perihal satu-satu bangsa, istiadat, sejarah, kepercayaan, kebudayaan dan berbagai lagi. Dengan cara ini, persefahaman kita dengan kaum yang lain dapat dijalin dengan baik.

         Di samping menambah pengetahuan, kita juga dapat mengikuti perkembangan dan kejadian yang berlaku di dalam dan luar negeri. Melalui bacaan surat khabar dan majalah kita dapat mengetahui pergolakan yang berlaku di negara lain seperti peperangan, pemogokan, tunjuk perasaan dan lain-lain. Kita dapat membandingkannya dengan negara kita. Dengan itu kita menjadi insaf dan sedar bahawa kita semua sangat beruntung kerana negara kita sentiasa aman dan tidak bergolak.
           
Selain daripada itu, kita juga dapat mengetahui perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain dalam bidang sains dan kita dapat mengetahui hasil ciptaan mereka, dan bagaimana mereka dapat menyelesaikan masalah ekonomi negara. pengetahuan ini mungkin berguna kepada kita. Mana-mana yang sesuai untuk kemajuan dan kesejahteraan negara kita bolehlah kita contohi dan pelajari. 

Sesebuah negara yang rakyatnya banyak membaca akan bangkit menjadi negara yang cepat maju, kerana daripada pembacaan itu mereka sentiasa dapat ilmu-ilmu baru. Dengan ilmu itu dapatlah mereka membuat perubahan ke arah kemajuan dan kejayaan dalam apa jua bidang seperti pelajaran, pembangunan, ekonomi, sosial, kebudayaan dan berbagai lagi. Negara akan beruntung jika mempunyai rakyat yang berilmu pengetahuan lagi progresif. Jadikanlah membaca sebagai suatu amalan hidup. 

--------------------------------------------------------------
CONTOH CARA MENJAWAB:

Baca dan Fahami. Ringkasan perlu berkaitan dengan tajuk, iaitu Faedah Membaca.


1. CARI ISI PENTING DALAM SETIAP PERENGGAN (GARISKAN/BERI NOMBOR) - Dalam setiap perenggan ada 1/2 isi penting sahaja. Selebihnya hanya huraian (contoh).

(1) Membaca adalah satu amalan yang terpuji dan patut dijadikan amalan setiap orang. (2) Banyak faedah yang akan diperolehi jika seseorang itu mengisi masa lapangnya dengan membaca. Bahan-bahan bacaan banyak terdapat di negara kita seperti akhbar, majalah, buku dan lain-lain lagi. Di dalamnya termuat pelbagai maklumat mengenai hal-hal yang wujud dan yang berlaku di seluruh dunia. Jadi dengan membacanya pengetahuan kita akan bertambah. Kita dapat mengetahui perihal satu-satu bangsa, istiadat, sejarah, kepercayaan, kebudayaan dan berbagai lagi. Dengan cara ini, persefahaman kita dengan kaum yang lain dapat dijalin dengan baik.
          
Di samping menambah pengetahuan, (3) kita juga dapat mengikuti perkembangan dan kejadian yang berlaku di dalam dan luar negeri. Melalui bacaan surat khabar dan majalah kita dapat mengetahui pergolakan yang berlaku di negara lain seperti peperangan, pemogokan, tunjuk perasaan dan lain-lain. Kita dapat membandingkannya dengan negara kita. Dengan itu kita menjadi insaf dan sedar bahawa kita semua sangat beruntung kerana negara kita sentiasa aman dan tidak bergolak.           

 Selain daripada itu, (4) kita juga dapat mengetahui perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain dalam bidang sains dan kita dapat mengetahui hasil ciptaan mereka, dan bagaimana mereka dapat menyelesaikan masalah ekonomi negara. Pengetahuan ini mungkin berguna kepada kita. Mana-mana yang sesuai untuk kemajuan dan kesejahteraan negara kita bolehlah kita contohi dan pelajari.  

(5) Sesebuah negara yang rakyatnya banyak membaca akan bangkit menjadi negara yang cepat maju, kerana daripada pembacaan itu mereka sentiasa dapat ilmu-ilmu baru. Dengan ilmu itu dapatlah mereka membuat perubahan ke arah kemajuan dan kejayaan dalam apa jua bidang seperti pelajaran, pembangunan, ekonomi, sosial, kebudayaan dan berbagai lagi. Negara akan beruntung jika mempunyai rakyat yang berilmu pengetahuan lagi progresif. Jadikanlah membaca sebagai suatu amalan hidup. 


----------------------------------------------

2. Setelah mengumpulkan isi-isi penting, TUKARKAN AYAT TERSEBUT KEPADA AYAT/PERKATAAN KAMU SENDIRI. Jangan menyalin sepenuhnya (copy and paste) petikan asal penulis. Gunakan kata seerti/sinonim. Tukar beberapa perkataan sahaja pun okey. Contohnya:

(1) Membaca adalah satu amalan yang terpuji dan patut dijadikan amalan setiap orang.
  • Perkataan 'amalan' --> tukarkan kepada 'tabiat' / 'kebiasaan'
  • Contoh ayat :  Membaca adalah satu tabiat yang terpuji dan patut dijadikan kebiasaan setiap individu.

--------------------------------------------

3. Selesai kamu menukarkan isi-isi tersebut ke dalam ayat kamu sendiri, TULIS RINGKASAN DENGAN FORMAT YANG BETUL (1 Perenggan sahaja)

Membaca adalah satu tabiat yang terpuji dan patut dijadikan kebiasaan setiap individu. Banyak manfaat yang boleh diperolehi dengan membaca pelbagai bahan bacaan. Kita boleh mengetahui pencapaian dan peristiwa yang berlaku di serata tempat....

--------------------------------------------

4. Semak ejaan, tatabahasa dan tanda baca kamu. Pastikan kamu menulis jumlah patah perkataan di bahagian bawah ringkasan.
Tarikh: 5/3/2015 (Khamis)
Bahasa Melayu  (1 Jam)
Pukul : 7:45 - 8:45

Setelah kertas ujian diberikan

~Duduk dengan tenang~

~Berdoa dan yakin kamu boleh!~

~Baca keseluruhan kertas soalan~
-Beri perhatian terhadap arahan soalan
- Baca soalan dengan teliti

~Jawab soalan yang senang terlebih dahulu~

~Rancang masa (Bahagikan masa mengikut bilangan soalan)~

~Rancang jawapan~
-Semak jawapan supaya tidak terpesong/terkeluar dari kehendak soalan
-Semak ejaan, tatabahasa dan tanda baca
-Gunakan bahasa/perkataan yang sesuai

~Pastikan tulisan kamu senang dibaca dan kemas~

~Jangan biarkan soalan kosong tanpa jawapan~

~Setelah selesai, semak jawapan kamu sekali lagi~
SASCAT BAHASA MELAYU
TAHUN 8


MASA: SATU JAM

Arahan

1. Kertas ujian ini mengandungi 4 bahagian (bahagian A, B, C, dan D) dan kamu dikehendaki untuk MENJAWAB KESEMUA BAHAGIAN.

2. Markah keseluruhan bagi kertas ini ialah 60 markah.

3. Baca soalan dengan teliti sebelum memberikan jawapan. (Pelajar dilarang bercakap-cakap/ meninggalkan tempat duduk sewaktu ujian sedang dijalankan. Peraturan lainnya akan diterangkan sebelum kertas ujian diberikan).

4. Tulis jawapan dengan menggunakan pen hitam atau biru yang dibenarkan sahaja.

5. Jika sudah selesai, jangan lupa untuk menyemak jawapan kamu.

----------------------------------------------
 BAHAGIAN A(20 markah) - KEFAHAMAN & JAWI

  • Soalan 1 - 5 : Kefahaman
  • Soalan 6 : Soalan beri maksud / beri erti perkataan
  • Soalan 7 : Menulis perkataan rumi ke dalam ejaan jawi 


BAHAGIAN B(10 markah) - RINGKASAN

  • Meringkaskan petikan menjadi lebih kurang 50 patah perkataan. Kamu digalakkan supaya menggunakan ayat kamu sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

BAHAGIAN C (20 markah) - TATABAHASA
  • Soalan tentang golongan kata yang telah dipelajari (Kata nama am, khas, ganti nama diri, kata adjektif dll)
  • Soalan Imbuhan (meletakkan imbuhan yang sesuai bagi perkataan yang bergaris dalam petikan) Contohnya: 
Selepas itu saya ______________ (ajak) adik berjalan-jalan.
Jawapannya:  Selepas itu saya mengajak adik berjalan-jalan.



BAHAGIAN D (10 markah) - PENGETAHUAN BAHASA
  • Ada 2 soalan.  Contoh arahan: Tulis simpulan bahasa yang sesuai bagi petikan berikut. 
  • Ada 3 soalan. Contoh arahan: Tuliskan Perambahan Brunei yang sesuai dengan maksud berikut.
  • Ada 5 soalan. Contoh arahan: Padankan perumpamaan dengan maksud yang diberikan di bawah. Tulis sama ada A, B, C, D atau E di dalam petak yang disediakan


------------------------------------------------------------------------
Untuk ujian ini, Tidak ada karangan,  Tidak ada surat kiriman, dan Tidak ada rumusan.
Jika pelajar tidak mempunyai nota-nota tertentu (disebabkan tidak hadir ke sekolah atau hal lainnya), sila semak entri sebelum ini. Link untuk memuat turun nota berkenaan ada disediakan. Selamat mengulang kaji  

[Cg.Linn]